Monday 8 July 2013

Siri 3: Tauhid Rububiyyah

Bissmillahi rahmanir rahhim. Dgn nama Allah yg Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum wrt/selamat sejahtera.


Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah

Terdapat banyak pengertian kalimah Rabb antaranya ialah: 
1. As-Sayyid (Tuan) 
2. Al-Malik (Yang Memiliki) 
3. Pencipta 
4. Penguasa 
5. Pendidik 
6. Pengasuh 
7. Penjaga 
8. Penguatkuasa.
9. Pemelihara
Malah banyak lagi, ia sesuai dengan sifat asma' wa sifat yang memiliki 99 nama yang baik dan terpuji. Tak mampu untuk kita jelaskan satu persatu kecuali bincangkan di bawah bab ilmu kalam. Hanya menyebut beberapa sifat saja di sini.

Allah jua bersifat mutlak

Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara dan terhad pula. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah bukan kepunyaan manusia. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman ,majaz (kiasan), menumpang dan sementara untuk melihat keimanan Tauhid Rububiyah manusia. Hanya Allah sebagai Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya dan berharap kepada-Nya. 

Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah sebagai satu pemberian sementara. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi datang daripada Allah untuk menilai kekuatan ketaqwaan kepada-Nya.

Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas,susun atur langkah, pemikiran, bicara dan sebagainya datang daripada Allah secara mutlak tanpa dibantu oleh mana-mana makhluk sama ada manusia atau syaitan dan jin.

Allah, Dialah Maha berkuasa, mencipta, menghidup dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya. walaupun kita berusaha, berikhtiar, bertindak dengan segala kebijaksanaan dan kekuasaan yang kita ada, kita masih tidak mampu melakukannya.

Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’, bermakna hanya Allah yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat, tiada yang mampu memberi mudarat atau manfaat walau sehebat manapun manusia itu berkuasa. Maka janganlah kita sekali-kali menyandarkan sesuatu yang kita miliki kepada mana-mana kuasa yang ada didunia ini.

Firman Allah SWT:

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” 
(Al-An’am: 17)

Dengan sifat-sifat Allah tersebut, maka timbullah kesan tauhid kepada seseorang. Dia hanya takut kepada Allah, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah. Islam menyarankan konsep jihad kerana bertindak di atas landasan Allah adalah menjadi keutamaan walaupun manusia, semuanya memeranginya. Menjadi satu kesalahan sekiranya kita takut kepada manusia sehingga meminggirkan kepentingan, ajaran, syariat dan undang-undang Allah. Ketika itu, kemanakah Tauhid Rububiyah kita?

Manusia bersifat fakir

Manusia di dunia ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah. Firman Allah SWT di dalam Al-Hadith Al-Qudsi:

“Hai manusia, kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku.”

“Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku berikan makan, oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.”

“Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.”

Sifat fakir dan sifat kaya

Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah. Oleh itu semua makhluk bersifat fakir. Manusia setiap saat berhajatkan kepada Allah kerana Allah itu sifat-Nya Maha Kaya, Maha sempurna. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memohon kepada-Nya, jangan sekali-kali memohon kepada manusia atau makhluk kerana manusia hanyalah alat untuk menyempurnakan pemberian Allah. Maka , Allahlah selayaknya untuk disyukuri atas segala pemberian-Nya dengan melaksanakan segala kehendak Allah bukan setakat hamdalah dan solat malah meliputi pemikiran, perbuatan dan percakapan yang sentiasa membesarkan Allah SWT.

Allah Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah. Firman Allah SWT: 

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (yang tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (Fathir: 15)

Fakir adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan Allah, di mana manusia tidak memiliki sesuatupun di dunia ini sama ada harta benda, kuasa, kudrat, wang ringgit, anak pinak, rumah yang besar lagi indah, suami/ isteri, kenderaan, dan sebagainya yang menjadikan kita sombong dan angkuh kepada Pemberinya, sehingga tidak meletakkan Allah di tempat yangselayaknya di hati kita sedangkan Kaya adalah sifat yang zati bagi al-Khaliq (Pencipta).

Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah

Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu menyamai Allah dari segi Rububiyyah. Antaranya:

1. Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.

2. Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu adalah Rabb al-’Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di alam ini. Dialah Allah yang merencana dan melaksanakan segala rancangan-Nya.

3. Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendiri.

Begitulah hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.Manusia itu memiliki penglihatan, penglihatan Allah, manusia itu memiliki pendengaran; pendengaran Allah, manusia itu memiliki kuasa; kuasa Allah, manusia bernyawa; nyawa itu dalam gengaman Allah, manusia itu bergerak; selagi ada gerak nafas dari Allah, manusia itu boleh makan dan minum; selagi ada gerak nadi dari Allah. Tanpa pemberian Allah SWT, manusia umpama mayat yang boleh dikerjakan oleh si pemandi mayatsesuka hatinya sedang mayat tidak mampu berbuat apa-apa atas jasadnya sendiri.

Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana .

Fitrah mengakui Rububiyyah Allah

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah SWT. Firman Allah SWT: 

“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah.” (Az-Zukhruf: 87) 

“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.”(Az-Zukhruf: 9)

Tidaklah susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah SWT. Fitrah setiap insan adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta.

Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia.Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-’Alamin. Firman Allah SWT: 

“Berkata rasul-rasul mereka: Apakah terdapat keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi.” (Ibrahim: 10) 

“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.”(An-Naml: 14)

Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil (‘inad) dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan mendalam yang mengakui kewujudan al-Khaliq.

Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah semata-mata. Benarlah Firman Allah SWT: 

“Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar.” (Luqman: 32)

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah adalah mudah, jelas, 
terang dan nyata. Kewujudan Allah terbukti dengan dalil yang banyak dan pelbagai. Maka hendaknya, janganlah kita menjadi seperti firaun, apabila nyawa hampir di halkum barulah mencari Allah, janganlah apabila kita dalam kesusahan, kesempitan, kepayahan, kemudharatan dan mala petaka, barulah merujuk kepada Allah.Adalah menjadi kewajiban kita menguatkan kefahaman dan tindakan Tauhid rububiyah ini supaya setiap saat segala tutur kata, tindakkan, amalan merujuk kepada Allah Yang maha Pemberi, jangan kita pisahkan apa sahaja yang ada pada kita dengan Allah SWT, kerana dibimbingi akan terjatuh kepada amalan syirik sebagai satu dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah.

sekian.

No comments:

Post a Comment