Saturday 17 May 2014

Siri 10: Nabi dan Rasul

Beriman kepada rasul merupakan salah satu dari Rukun Iman. Untuk menyatakan 'aku beriman kepada rasul' melalui lidah kita adalah suatu ungkapan yang sangat mudah, malah setakat mengetahui kewajipan beriman kepada rasul juga sangat mudah, juga setakat mengetahui teori beriman kepada rasul juga adalah mudah. Maksud beriman kepada rasul bukan setakat boleh menyebut dengan lidah yang tidak bertulang ini, tetapi mesti digarap dengan ilmu bagi mencapai tahap tahu. Mendalami ilmu tentang rasul bagi mencapai tahap tahu pula tidak cukup setakat membaca dua atau tiga kitab, atau mendengar satu dua ceramah kerana kisah rasul dan nabi ini diceritakan dalam pelbagai kitab yang menjangkau ribuan tahun. Keperluan pengetahuan tentang nabi dan rasul ini adalah wajib kerana setiap gerak, tingkah laku, amalan, tindakan, keputusan, fikiran dan perintah mereka sepatutnya menjadi ikutan dan amalan setiap umat Islam. Tanpa pengetahuan yang mendalam tentang mereka akan mengundang perlakuan umat Islam yang menyalahi ajaran dan perintah para nabi dan rasul. Sebab itu dewasa ini didapati, ramai umat Islam tidak mengamalkan sunnah nabi dan rasul kerana mereka tidak benar-benar tahu tentang nabi dan rasul mereka. Di sini saya huraikan beberapa tajuk beserta contoh untuk muhasabah diri kita bersama.

1.Pengertian Nabi dan Rasul.

Nabi ialah manusia lelaki pilihan Allah s.w.t yang diberikan wahyu untuk dirinya sahaja manakala rasul ialah lelaki pilihan Allah s.w.t yang juga diberikan wahyu untuk dirinya dan wajib disampaikan kepada orang lain.

Rasul merupakan utusan Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia  termasuk jin. Setiap umat Islam wajib beriman dengan rasul yang bertanggungjawab mengajar dan menerangkan cara untuk mengenal Allah s.w.t, perkara-perkara ghaib, cara beribadat yang betul, cara beradab dengan Allah s.w.t, cara beradab Rasulullah s.a.w, cara beradab dengan sesama manusia dan makhluk lain, cara berakhlak mulia, cara bermuamalah, cara bersosial dan cara berpolitik mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Firman Allah;

 وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Maksudnya:" Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka kamu patuhilah larangan-Nya.dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)".(Surah al-Hasyr:7).

Berdasarkan ayat ini, umat Islam wajib mentaati apa sahaja yang datang dari Rasulullah s.a.w, dan mengamalkan segala sunnahnya. Ini sesuai dengan firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah An-Nisa': 59)
Mafhum daripada ayat ini, apapun yang berlaku di kalangan umat Islam, seperti perselisihan faham, pergaduhan dan sebagainya, tempat rujukan yang utama untuk mencari jalan penyelesaian adalah kembali kepada kitabullah dan sunnatur rasul, jika tidak bertindak sedemikian maka kita telah melanggar perintah Allah dan Rasulullah saw yang balasannya amat keras. Terdapat banyak firman Allah dan sunnah Rasulullah serta sunnah para nabi dan salafussaleh yang menjadi contoh tauladan dan ikutan dalam membuat keputusan bagi setiap masalah yang timbul dalam masyarakat. Jika kita dan para pemimpin tidak mengikut cara penyelesaian yang dibuat oleh para nabi dan rasul bagaimanakah tahap keimanan kita kepada rukun iman yang kita yakini selama ini? yang kita katakan 'aku beriman kepada Rasul' dan kita bersahadah dengan sahadatain iaitu " aku naik saksi tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah'. Cukupkah setakat mengakui dengan lidah semata-mata tetapi syirik dalam tindakkan dan amalan. Adakah layak seseorang pemimpin itu dipatuhi dan ditaati sedangkan mereka melanggar sunnatullah dan sunnatur rasul yang wajib diikuti dan dicontohi malah tindakan dan keputusan mereka mendatangkan kerosakan kepada masyarakat setempat. Fikirkanlah..
insha Allah kita jumpa lagi ...



Wednesday 14 May 2014

SIRI 9: FITRAH BERAGAMA




Fitrah bermaksud "sifat semulajadi" yang ada pada setiap kejadian Allah s.w.t. Contoh matahari dengan sifat semulajadinya yang sentiasa bersinar, bulan pula dengan sifat semulajadinya, bumipun yang sentiapa berpusing di atas paksinya, setiap binatang memiliki sifat semula sifat semula jadi mereka sendiri, apabila keluar sahaja dari sifat semualajadi setiap kejadiannya, maka akan musnahkan   setiap makhluk yang diciptakan allah ini dengan sifat semulajadi yang tersendri itu. Manakala maksud fitrah beragama pula ialah naluri semulajadi manusia yang mengakui adanya Allah S.W.T. Setiap manusia, jauh di sudut hati mereka mengakui akan adanya Tuhan yang berkuasa mengatasi segala kuasa sebagaimana yang diceritakan dalam banyak ayat-ayat al-Quran antaranya;

"Dan sesungguhnya jika engkau ( wahai Muhammad ) bertanya kepada mereka ( yang musyrik) itu; Siapakah yang menurunkan hujan dari Langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab "Allah". ( surah al-Ankabut:ayat 63)


Berdasarkan ayat di atas didapati bahawa semua manusia mengakui Allah s.w.t itu Tuhan malah mereka berkata "Allah" apabila ditanya tentang tuhan mereka sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas. Penyataan ini diperkuatkan pula tentang kisah Nabi Ibrahim a.s yang mencari-cari tuhannya seperti dalam firman Allah yang bermaksud:

"Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Azr: Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata."( Surah al-Nam,6:ayat 74)

Fitrah beragama ini memang wujud dalam diri setiap manusia, inilah yang mendorong seseorang itu menerima hakikat kebenaran, berusaha mencari tuhan, dan berfikir tentang hakikat ketuhanan yang sebenar. Rasulullah s.a.w sejak kecil lagi memikirkan tentang hakikat ketuhanan, menolak tradisi masyarakatnya dengan mengasingkan diri di gua Hira' demi untuk mencari kebenaran, malah bermunajat untuk memikirkan kebaikan yang sebenar. Merasa sedih dan bimbang akan kejahilan manusia tentang hakikat ketuhanan, merasa risau dengan pelbagai dosa dan maksiat yang diamalkan oleh manusia sehingga bertentangan dengan sifat semulajadi yang dicipta oleh Allah kepada manusia, ini kerana setiap yang bertentangan dengan sifat semulajadi kejadian sesuatu makhlukitu akan mendatangkan kemusnahan kepada makhluk itu sendiri. Contoh, manusia suka memfitnah akan merosakkan dirinya sendiri kerana Allah telah meletakkan sifat semulajadi bagi sesiapa yang memfitnah bahawa fitnah itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Begitu juga bagi dosa-dosa yang lain, kerana inilah fitrahnya, sebab itu adanya larangan Allah agar manusia tidak melakukan apa yang ditegah-Nya.

Nabi Ibrahim juga bersikap demikian, beliau telah mencari Tuhan bermula dengan mengakui bintang sebagai tuhan, kemudian bulan, setelah itu matahari, tetapi semua ditolak oleh akalnya kerana semua yang dianggap tuhan itu tadi tidak kekal, beliau yakin bahawa hakikat ketuhanan mesti kekal dan tidak hilang atau musnah. Oleh itu, apa sahaja yang datang dari Allah adalah bersifat semulajadi dan azali kerana Allah itu Maha Mengetahui sifat-Nya. Hal ini diceritakan dalam surah al-An'am ayat76-78.

Masalah sekarang kenapa manusia menolak Allah sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. ini hanyalah kerana dorongan nafsu, sombong, angkuh, enggan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah, pendewaan terhadap akal mereka yang hebat, pendewaan terhadap pangkat dan kekuasaan yang mereka miliki dan tidak mahu menerima hakikat ketuhanan yang sebenar. Hakikat ketuhanan adalah bersifat mutlaq, apa sahaja yang datang dari Allah adalah dari sifat Allah Yang Maha Mengetahui yang mencipta sifat semulajadi bagi setiap makhluknya, apabila manusia tidak menurut sifat semulajadi itu, maka akan hancurlah manusia itu. contoh sifat semulajadi manuisa yang dicipta oleh Allah ialah menyembah Allah, jika tidak menyembah Allah, akan musnahlah manusia itu, akhirnya wujudlah golongan yang menolak agama dalam kehidupan mereka yang tidak berpandukan kepada  panduan-panduan yang disediakan oleh Allah.


Perbezaan antara yang yang beragama dengan tidak beragama dapat dilihat dengan jelas iaitu:
1) Orang beragama sentiasa reda dengan ketentuan Tuhannya, tanpa berprasangka buruk, masih tetap bersangka baik walaupun jelas nyata kejahatannya 2) Melakukan sesuatu perbuatan dengan ikhlas untuk memperolehi ganjaran dari Allah semata-mata, tanpa dipengaruhi riak, ujub, takbur, bangga diri dan seumpamanya 3) Bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Allah dengan melaksanakan segala-galanya hanya untuk Allah sebagai hamba_Nya yang lemah 4) Memanfaatkan rezeki mereka ke jalan Allah, dengan sanggup mengorbankan hartanya dahulu sebelum mempersoalkan harta orang lain 5) Memiliki jiwa yang mantap dan teguh di atas prinsip kebenaran mengikut syariat Islam dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kecekalan kerana memahami bahawa segala itu adalah ujian Allah 6) Memiliki kesempurnaan akhlak dengan menghormati sesama manusia, tanpa mencari dan mengintai salah dan silap orang lain 7) Tidak cintakan dunia dengan mencari-cari peluang untuk mendapatkan pengaruh, kekuasaan, kekayaan dan sebagainya lebih-lebih dengan cara yang dilarang oleh Allah SWT.

Berdasarkan beberapa dalil di atas kita dapat perkataan " Allah " itu telah digunapakai oleh seluruh umat manusia sejak manusia diciptakan oleh Allah. Perkataan tersebut bukan menjadi hak bagi umat Islam sahaja, umat Islam hanya dipertanggungjawabkan membela perkataan tersebut dari diperhina, disalah tafsir, disalahguna, diperkecilkan skopnya atau sebagainya.

Tetapi ingat,..perkataan Allah adalah hak Allah, kita wajib mempertahankannya, membelanya sepertimana kewajipan kita membela agama Islam, mengamalkan syariat Islam, mengamalkan segala yang terkandung di dalam ajaran Islam, melaksanakan hukum2 Islam dan segala yang berkaitan dengannya. Apabila kita melanggar sesuatu yang didatangkan daripada Allah secara langsungnya kita juga menghina hak-hak Allah yang wajib kita pertahankan.

Sehubungan itu, Tasawwur Islam meletakkan orang yang sedemikian sebagai orang yang tidak beragama, apabila mereka memiliki ciri-ciri berikut; 1. sentiasa keluh kesah, kecewa, putus asa dan melakukan kemudaratan kepada diri dan orang lain 2. melakukan sesuatu untuk kepentingan diri dan mengharapkan pujian serta sanjungan manusia, apa lagi menghina dan membiarkan mereka dalam kehinaan 3. Ingkar dengan ketentuan Allah swt, segala nikmat yang dimiliki hanya untuk kepentingan diri dan juga ke arah maksiat 3. mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang merosakkan dan 4. berakhlak buruk , suka menimbulkan kekacauan, membuat huru hara, mendatangkan fitnah, mengadu domba dan berprasangka buruk kerana yang tahu hati manusia hanyalah Allah SWT sahaja dan bermatlamatkan kehidupan di dunia sahaja.

Muhasabahlah diri kita sendiri, adakah kita memiliki sedikit dari pecahan ciri-ciri itu tadi, maka kita telah tergolong dalam golongan orang yang tidak beragama.

Islam adalah agama praktikal bukan agama teori semata-mata, ramai orang mengetahui tentang teori beragama tetapi apabila berdepan dengan realiti mereka lupa teori ini, mereka gunakan teori nafsu manusia dan akal manusia yang tidak ditunjangi wahyu Ilahi. Sebagai contoh apabila kita disakiti dengan segera kita akan berusaha menyakiti orang tersebut malah orang-orang yang disekitarnya yang tak terlibat turut dipalitkan bersama. mana iman dan akhlak kita....