Saturday 17 May 2014

Siri 10: Nabi dan Rasul

Beriman kepada rasul merupakan salah satu dari Rukun Iman. Untuk menyatakan 'aku beriman kepada rasul' melalui lidah kita adalah suatu ungkapan yang sangat mudah, malah setakat mengetahui kewajipan beriman kepada rasul juga sangat mudah, juga setakat mengetahui teori beriman kepada rasul juga adalah mudah. Maksud beriman kepada rasul bukan setakat boleh menyebut dengan lidah yang tidak bertulang ini, tetapi mesti digarap dengan ilmu bagi mencapai tahap tahu. Mendalami ilmu tentang rasul bagi mencapai tahap tahu pula tidak cukup setakat membaca dua atau tiga kitab, atau mendengar satu dua ceramah kerana kisah rasul dan nabi ini diceritakan dalam pelbagai kitab yang menjangkau ribuan tahun. Keperluan pengetahuan tentang nabi dan rasul ini adalah wajib kerana setiap gerak, tingkah laku, amalan, tindakan, keputusan, fikiran dan perintah mereka sepatutnya menjadi ikutan dan amalan setiap umat Islam. Tanpa pengetahuan yang mendalam tentang mereka akan mengundang perlakuan umat Islam yang menyalahi ajaran dan perintah para nabi dan rasul. Sebab itu dewasa ini didapati, ramai umat Islam tidak mengamalkan sunnah nabi dan rasul kerana mereka tidak benar-benar tahu tentang nabi dan rasul mereka. Di sini saya huraikan beberapa tajuk beserta contoh untuk muhasabah diri kita bersama.

1.Pengertian Nabi dan Rasul.

Nabi ialah manusia lelaki pilihan Allah s.w.t yang diberikan wahyu untuk dirinya sahaja manakala rasul ialah lelaki pilihan Allah s.w.t yang juga diberikan wahyu untuk dirinya dan wajib disampaikan kepada orang lain.

Rasul merupakan utusan Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia  termasuk jin. Setiap umat Islam wajib beriman dengan rasul yang bertanggungjawab mengajar dan menerangkan cara untuk mengenal Allah s.w.t, perkara-perkara ghaib, cara beribadat yang betul, cara beradab dengan Allah s.w.t, cara beradab Rasulullah s.a.w, cara beradab dengan sesama manusia dan makhluk lain, cara berakhlak mulia, cara bermuamalah, cara bersosial dan cara berpolitik mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Firman Allah;

 وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Maksudnya:" Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka kamu patuhilah larangan-Nya.dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)".(Surah al-Hasyr:7).

Berdasarkan ayat ini, umat Islam wajib mentaati apa sahaja yang datang dari Rasulullah s.a.w, dan mengamalkan segala sunnahnya. Ini sesuai dengan firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah An-Nisa': 59)
Mafhum daripada ayat ini, apapun yang berlaku di kalangan umat Islam, seperti perselisihan faham, pergaduhan dan sebagainya, tempat rujukan yang utama untuk mencari jalan penyelesaian adalah kembali kepada kitabullah dan sunnatur rasul, jika tidak bertindak sedemikian maka kita telah melanggar perintah Allah dan Rasulullah saw yang balasannya amat keras. Terdapat banyak firman Allah dan sunnah Rasulullah serta sunnah para nabi dan salafussaleh yang menjadi contoh tauladan dan ikutan dalam membuat keputusan bagi setiap masalah yang timbul dalam masyarakat. Jika kita dan para pemimpin tidak mengikut cara penyelesaian yang dibuat oleh para nabi dan rasul bagaimanakah tahap keimanan kita kepada rukun iman yang kita yakini selama ini? yang kita katakan 'aku beriman kepada Rasul' dan kita bersahadah dengan sahadatain iaitu " aku naik saksi tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah'. Cukupkah setakat mengakui dengan lidah semata-mata tetapi syirik dalam tindakkan dan amalan. Adakah layak seseorang pemimpin itu dipatuhi dan ditaati sedangkan mereka melanggar sunnatullah dan sunnatur rasul yang wajib diikuti dan dicontohi malah tindakan dan keputusan mereka mendatangkan kerosakan kepada masyarakat setempat. Fikirkanlah..
insha Allah kita jumpa lagi ...



No comments:

Post a Comment