Wednesday 10 July 2013

Menjawab Persoalan Pembaca

Saya cuba menjawab soalan yang dikemukakan oleh Tn Haji Kontot :Saya ingin mengajukan , Ugama dulu atau Ibadah dulu .?

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum wrt. Terima kasih Tn Haji. Di sini saya cuba jelaskan setakat kemampuan saya , selebihnya Allah Yg Maha Mengetahui.

Saya bawakan beberapa dalil untuk menceritakan perihal agama. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang diridhai di sisi Allah hanyalah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberikan Al-Kitab, kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, karena kedengkian yang ada di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisabnya.” (QS. Ali ‘Imran: 19) 

Firman Allah yang lain bermaksud: “Maka mengapa mereka mencari agama yang selain agama Allah, padahal apa yang di langit dan di bumi berserah diri kepadanya (baik) dengan suka maupun terpaksa, dan hanya kepada-Nya mereka dikemballikan?” (QS. Ali ‘Imran: 83) 

Firman lain; “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama itu daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang merugi.” (QS. Ali 85)

Berdasarkan dalil2 di atas, ditegaskan bahawa agama yang dimaksudkan hanyalah agama Islam, jika ada agama lain daripadanya maka, Allah tidak mengiktirafnya sebagai agama. Agama ini juga menjadi agama bagi Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf, Nabi Sulaiman, Nabi Isa dan semua nabi yang dinyatakan dalam al-Quran. Jadi perbincangan kita hanya melibatkan agama Islam sahaja.

Apakah maksud Agama?

Dalam al-Quran agama disebut "ad-Din". Terdapat beberapa maksud ad-din antaranya;

Pertama: Ia membawa erti memiliki dan mentadbir. Maka Din di sini berbentuk mentadbir dan berpolitik. Ia disebut dalam bentuk fiel danahu. Merujuk kepada Tauhid Rububiyah.

Kedua : Apabila kita menggunakan dalam bentuk dana lahu, maka ia bererti taat kepadanya. Maka ia berbentuk ketaatan dan ibadat. Merujuk kepada Tauhid uluhiyah.

Ketiga: Sekiranya kita menggunakan dalam bentuk dana bissyaik, maka ia bererti menjadikan ia sebagai agama dan mazhab. (ad-Din)

Ad Din (agama) di sini bererti adalah satu cara hidup. Ia adalah suatu sistem yang mencakup peraturan-peraturan yang menyeluruh, serta merupakan “undang-undang” yang lengkap dalam semua urusan hidup manusia untuk kita terima dan mengamalkannya secara total tanpa sebarang persoalan dan ragu-ragu.

Ini bermakna Islam tidak hanya sekadar agama, tapi juga suatu cara hidup, suatu sistem, pedoman hidup, dan juga peraturan-peraturan yang menyeluruh. Islam adalah Ad Din yang telah diwahyukan Allah kepada Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi seluruh semesta alam. Ia adalah Ad Din yang berintikan kepada dua hal, iaitu iman dan amal. Iman merupakan aqidah atau pokok, dan di atasnya berdiri syariat Islam. Syariat Islam termasuklah di dalamnya, akidah, ibadat, sirah, akhlak, ekonomi, sosial, perundangan dan sebagainya sesuai dengan keperluan penciptaan manusia oleh Allah SWT.

Menafikan salah satu dari cabang-cabang syariat Islam ini, maka kita akan menafikan kebijaksanaan Allah SWT sebagai pentadbir, pemilik, pencipta, pengurus dan perancang setiap sesuatu di dunia ini. Setelah kita mengakui Allah sebagai pemilik adalah wajar sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan kita kepada Tuhan yang Maha Bijaksana ini, maka kita dituntut untuk membuktikan dengan mengabdikan diri melalui ibadat yang kita lakukan sama ada lisan, akal, anggota tubuh badan dan hati hanya kepada Allah semata2.

Hasil dari perbincangan ini, ibadat adalah sebahagian dari ad-Din, Ad-Din adalah rumahnya, di dalam rumah itu mesti ada akidah, ibadat, politik, ekonomi, undang2 dan segala peraturan kehidupan manusia. Tidak terpisah sedikitpun, tiada yang mendahului antara satu sama lain, mesti seiring antara kesemuanya. Mesti dilaksanakan bersepadu, mesti berdasarkan cara hidup yang ditentukan oleh Allah, barulah menjadi seorang Islam yang beriman, dan menjadi mukmin munttaqin. Jika kita pisahkan salah satu darinya maka runtuhlah rumah itu, runtuhlah agama itu. Musnahlah manusia itu.

Sekian. Wallahu aklam. Insha Allah.

No comments:

Post a Comment